BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, January 23, 2009

TAZKIRAH JUMAAT: KELUARGA SAKINAH PENEGAK SYARIAH

Keluarga Pendukung Dakwah


Islam mewajibkan setiap Muslim, baik lelaki mahupun perempuan, untuk menjadikan akidah Islam sebagai landasan kehidupan, termasuk dalam kehidupan berumah-tangga. Menjadikan akidah Islam sebagai asas rumah tangga bererti meletakkan akidah sebagai paksi tujuan hidup dalam berumah tangga. Akidah Islam menetapkan bahawa tujuan hidup setiap manusia adalah untuk meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Taala. melalui ketaatan, ketundukan, dan kepatuhan kepada-Nya seperti firmanNya: “Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembahKu”. [TQS adz-Dzariyat 51: 56].





Berdasarkan hal ini, maka mereka yang berpegang teguh kepada akidah Islam akan sentiasa terikat dengan hukum-hukum Islam, termasuk dalam aspek mendirikan dan menjalani kehidupan rumah tangga. Motivasi dalam berkeluarga adalah semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Nya dan bukannya kerana mementingkan kebendaan atau kemewahan..

Setiap perintah Allah akan dilaksanakan walaupun berat, penuh rintangan dan halangan, dengan tidak mengambilkira faedah dari segi kebendaan.. Sebaliknya, semua yang dilarang-Nya akan sentiasa dihindari walaupun menarik hati, menyenangkan, dan menjanjikan kesenangan duniawi.
Salah satu perintah Allah Subhanahu wa Taala ke atas. pasangan suami dan isteri adalah kewajipan berdakwah. Ini dapat diperhatikan dari firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka melakukan amar makruf nahi mungkar. “[TQS at-Taubah [9]: 71].

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Taala. menyatakan bahawa berdakwah merupakan aktiviti yang bersangkutan dengan keimanan seseorang, baik laki-laki mahupun wanita.

Allah Subhanahu wa Taala. juga berfirman:

“Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebajikan (Islam) dan melakukan amar makruf , mencegah kemungkaran; merekalah orang-orang yang beruntung.” [TQS Ali Imran [3]: 104].

Ayat ini menerangkan bahawa dakwah bukanlah tanggungjawab individu sahaja, tetapi wajib dilakukan secara berjemaah; perlunya ada kumpulan yang dianggotai lelaki mahupun perempuan yang mampu menegakkan tujuan dakwah.

Dengan demikian, amatlah jelas bahawa dakwah memang wajib dilakukan oleh setiap lelaki mahupun perempuan muslim, suami mahupun isteri. Pada masa kini, separuh dari jumlah penduduk dunia adalah terdiri dari kaum wanita. Sememangnya orang yang paling layak berdakwah di kalangan perempuan adalah kaum wanita sendiri iaitu para ibu dan calon-calon ibu. Apatah lagi pada saat ini kaum wanita telah dijadikan sasaran utama dalam rangka meruntuhkan sesuatu bangsa.
.
Oleh kerana itu, suami dan isteri sepatutnya sama-sama meyakini bahawa dakwah merupakan satu kewajipan bagi mereka. Suami tidak akan menghalangi isterinya berdakwah. Ini kerana, menghalangi isteri berdakwah bererti menghalanginya menunaikan kewajipan dan seterusnya menjerumuskan isteri ke dalam dosa. Sebaliknya, isteri juga akan meredhai suaminya berdakwah. Apabila suaminya lesu dan tidak bersemangat dalam dakwah, isteri akan bersegera menaikkan semangat suaminya. Suami dan isteri masing-masing sepatutnya berbangga memiliki pasangan sebagai pendukung dakwah, dan hati serta perasaan mereka mengatakan:. “Keluarga kami adalah keluarga pendukung dakwah,” Inilah kebahagiaan ikatan mabda.


Mengatasi Masalah Keluarga

Kehidupan berumah tangga bukanlah satu perjalanan tanpa onak ranjau dan tiada halangan. Berbagai ujian dan dugaan pasti datang silih berganti. Hal ini penting untuk selalu diwaspadai oleh setiap pasangan suami-isteri.Sepasang suami-isteri akan beringat bahawa ketika mereka bernikah bererti mereka telah menjawab satu pertanyaan penting dalam kehidupannya iaitu “Dengan siapa Anda akan berjuang bersama-sama mengharungi kehidupan demi mencapai redha Allah dan masuk syurga bersama-sama?” Dengan mengingati persoalan ini, maka suami dan isteri adalah bersahabat antara satu sama lain. Perkahwinan bukan sekadar bertujuan mencapai kebahagiaan seksual atau meningkatkan status sosial melainkan keinginan untuk dimasukkan ke syurga bersama-sama seperti firman Allah:

” Masuklah kamu ke dalam syurga, kamu dan isteri-isteri kamu digembirakan. Dihidangkan kepada mereka piring-piring dari emas, dan piala-piala dan di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diinginkan oleh hati dan sedap dipandang mata dan kamu kekal didalamnya.” [TQS az-Zukhruf [43]: 70-71]

Rumah tangga yang dibentuk bukan sebarangan rumah tangga, melainkan rumah tangga yang akan membawa ke syurga. Inilah perkara yang sentiasa diingati ketika berhadapan dengan sebarang masalah. Dengan demikian, seandainya dilanda ujian didalam sebuah rumah tangga, pasangan itu akan saling berganding bahu mencari jalan penyelesaian dan tidak hanya mementingkan kemaslahatan diri sendiri.. Penyelesaian dan hukum yang diambil dalam menyelesaikan masalah pula sentiasa disandarkan kepada akidah dan syariat Islam.


Di antara permasalahan yang muncul dalam rumah tangga adalah:

1.Perbezaan tahap pemahaman Islam antara suami-isteri. Adanya jurang pemahaman Islam antara suami-isteri akan menyebabkan permasalahan dalam rumah tangga. Kerja-kerja dakwah juga akan terganggu. Masalah ini perlu diselesaikan dengan cara menyamakan tahap pemahaman. Caranya adalah berbincang; bukan seperti seorang pemimpin dengan rakyat, tetapi perbincangan antara dua sahabat yang dilandasi cinta dan kasih sayang. Jika ia sukar untuk dilakukan, maka suami akan meminta dan mendorong isterinya mengikuti proses pembinaan. Hal yang sama dilakukan juga oleh isteri kepada suaminya. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. sering berbincang dengan isteri-isterinya.

2.Beban hidup berkeluarga. Kezaliman penguasa seperti menaikkan harga barang telah membebani segenap lapisan masyarakat termasuk keluarga pendukung dakwah. Masalah ini akan dihadapi dengan penuh kesabaran oleh sebuah keluarga Muslim. Mereka meyakini bahawasanya Allah Maha Pemberi rezeki; Dialah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa sahaja yang Dia kehendaki; Dia pula yang menyempitkan rezeki atas sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Keluarga Muslim memandang kaya atau miskin hanyalah sebagai satu dugaan dari Allah, Zat Yang Maha Besar. Dengan pemikiran sebegini akan mendorong mereka untuk semakin taat kepada Allah Subhanahu wa Taala sebagaimana firman Allah:

”Dan Kami bahagi-bahagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan; diantaranya ada orang-orang yang soleh dan di antaranya ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran.”[TQS al-A‘raf [7]:168].

Demikian itu,suami akan terus berusaha mencari nafkah manakala isteri juga tidak banyak menuntut. Janganlah kita beranggapan Rasulullah hidup dipenuhi kesenangan. Sudah dimaklumi, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. hidup dalam kemiskinan. Baginda dan keluarganya sering tidak kenyang makan selama tiga hari berturut-turut. Keadaan ini di alami sehingga baginda kembali ke rahmatullah [HR al-Bukhari dan Muslim]. Namun, Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam dan isteri-isterinya tetap teguh dalam dakwah Islam.

3.Masalah dalam menentukan perkara atau kegiatan yang menjadi keutamaan suami-isteri. Sebagai contoh, adakala suami menghendaki supaya isterinya mengasuh anak yang sakit, sementara isterinya lebih mengutamakan untuk mendekati tokoh masyarakat atas tujuan dakwah. Ini akan menyebabkan perselisihan terjadi. Sebenarnya, penentuan keutamaan (al-awlawiyât) mesti berpandukan kepada hukum syarak. Oleh sebab itu, penting bagi suami dan isteri memahami tanggungjawab masing-masing berdasarkan hukum syarak. Suami wajib memperlakukan isteri dengan baik (maarûf), memberi nafkah, mendidik isteri, menjaga kehormatan isteri dan keluarga. Isteri berkewajipan untuk mentaati suami, menjaga amanat sebagai umm[un] wa rabbah al-bayt(pengurus rumah tangga), menjaga kehormatan dan harta suami, meminta izin dari suami untuk keluar rumah bagi sebarang tujuan. Sementara itu, kewajipan bersama suami-isteri adalah menjaga keimanan dan ketakwaan ,memelihara ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Taala., menghindari maksiat, dan saling menasihati.

Pasangan suami-isteri perlu berusaha untuk saling bertolak-ansur dalam menjalankan tanggung jawab masing-masing. Namun begitu, seandainya terdapat suatu situasi dan keadaan tertentu di mana berlaku pertindihan kepentingan antara peranan sebagai umm[un] wa rabbah al-bayt dan tugas dakwah, sedangkan kedua-duanya memang mustahil untuk dilakukan serentak pada ketika itu, maka mengikut syarak keutamaan yang mesti dilakukan adalah tanggungjawab sebagai umm[un] wa rabbah al-bayt.

Prinsip Dakwah Sinergi

Terdapat beberapa permasalahan lain yang kadangkala muncul. Namun, bagi setiap permasalahan yang dihadapi, inti pemecahan penyelesaiannya adalah seperti berikut:

1.Mengetahui hak dan kewajipan masing-masing serta hak dan kewajipan bersama, serta berusaha untuk bertolak-ansur. Seandainya mustahil untuk berkompromi, wajiblah kembali kepada penentuan keutamaan (awlawiyât) berdasarkan hukum syarak.

2.Membina dan meningkatkan komunikasi serta saling memahami. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sentiasa berkomunikasi dengan Saidatina Khadijah radhiallahu anha. Baginda bersama isterinya berusaha bersama membincangkan masalah dakwah. Bahkan, baginda meluangkan masa berkomunikasi dan bersenda-gurau dengan isteri-isterinya setiap kali selepas solat isyak. Setelah itu, barulah beliau menginap di tempat isteri yang mendapat giliran. Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam menjadi teladan bahawa komunikasi merupakan satu persoalan penting dalam rumah tangga. Berkomunikasi dalam rumah tangga bukanlah semestinya tentang perkara yang serius sahaja tetapi juga perkara-perkara urusan harian seperti melihat gambar keluarga bersama, perihal makanan dan minuman dan sebagainya.

3.Saling memberi sokongan seperti kumpulan dakwah kecil. Sokongan keluarga terdekat; suami dan isteri, anak-anak, ibubapa, dan orang-orang yang berada di sekitarnya; secara langsung atau tidak, akan memberi pengaruh terhadap kejayaan kumpulan dakwah keluarga. Beban rumah tangga, nafkah, dan dakwah jelas sangat berat. Malahan akan menjadi lebih berat jika suami/isteri atau keluarga tidak memahami kewajipan ini. Sebaliknya, semua tugas akan terasa ringan dan menyenangkan, perasaan penat akan segera hilang jika suami/isteri dan keluarga memahami aktivitinya; menyokong apatah lagi sekiranya turut sama-sama membantu. Suami dan isteri sama-sama memahami bahawa aktiviti tersebut bukanlah untuk kepentingan diri, kerjaya, ataupun untuk persaingan antara suami-isteri. Keduanya akan saling tolong-menolong dalam beribadah kepada Allah dan berlumba-lumba dalam kebaikan. Dengan begitu, akan tercipta sebuah keluarga yang harmoni, sakinah, mawaddah wa rahmah. Bagi Muslimah solehah, seberat mana pun beban yang mesti ditunaikan terasa ringan jika sokongan dan redha suami sentiasa bersama. Begitu juga, seorang suami soleh akan tetap tersenyum bahagia jika isterinya solehah dan menyokong dakwahnya. Di sinilah pentingnya suami-isteri saling memberi sokongan dalam menunaikan kewajipan dakwah Allah Azza wa Jalla. Adalah perlu bagi
para suami menjadi seperti Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam. dan para sahabat. Begitu juga perlunya para isteri menjadi laksana ummul mukminin dan para sahabiyyah yang secara harmoni berjuang bersama pasangan mereka dalam memperjuangkan Islam.

4.Pentingnya ukhwah sesama pendukung dakwah. Dakwah tidak mungkin dilakukan secara individu. Dakwah berjemaah adalah suatu kemestian. Ukhwah di antara pembawa dakwah akan terus terpelihara selama mana mereka berinteraksi antara satu sama lain. Dengan begitu, mereka akan saling mengenali, saling memahami, dan saling membantu. Masing-masing memahami karakter, kemampuan, permasalahan, kekurangan, serta apa yang diperlukan. Tidak akan ada tugas yang diberikan di luar kemampuan seseorang atau membuat dia lalai terhadap kewajipannya yang lain. Seandainya terdapat kekurangan pada individu pengembang dakwah mereka tidak terus dipersalahkan, tetapi akan diteliti penyebab permasalahannya dan dicari penyelesaiannya. Sebuah jemaah dakwah ibarat roda yang berputar. Masing-masing bertanggungjawab memainkan peranan diri; adakala berada di bawah adakala pula di atas.Demikian halnya dengan seorang pembawa dakwah. Ketika dia sedang menghadapi masalah, keadaannya ibarat berada di bahagian bawah roda. Saudaranya cepat bertindak untuk membantunya. Jika ini terjadi maka sebuah keluarga pengembang dakwah yang sedang menghadapi masalah akan diringankan oleh saudaranya dari keluarga lain.

Riwayat Keluarga Teladan

Keluarga Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam. adalah keluarga sakinah penegak syariah. Baginda sebagai seorang suami sering bergurau, berbuat makruf, dan lembut terhadap isterinya. Baginda merupakan seorang Rasul yang memperjuangkan Islam dan. salah seorang isterinya, Saidatina Khadijah radhiallahu anha, adalah penyokong utama dakwah baginda. Beliau(Khadijah), adalah orang yang pertama beriman dengan ajarannya (Sallallahu Alaihi wa Sallam) serta membiayai hampir seluruh dakwahnya. Namun demikian,
Khadijah radiallahu anha tetap merendah diri, berakhlak mulia, dan menjaga kesuciannya. Beliau juga menjadi ibu yang baik bagi anak-anaknya serta tetap menghormati dan mentaati Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. sebagai suaminya. Dari ibu mulia inilah lahirnya perempuan mulia; Fatimah az-Zahra. Hidup beliau dilalui dengan penuh kesetiaan dan kebajikan sebagaimana yang semestinya dilakukan oleh seorang isteri kepada suaminya. Beliau mendampingi Rasulullah dalam suka dan duka perjuangan (Lihat: Akhmad Khalil Jam’ah, Perempuan Yang Dijamin Syurga, Darul Falah, Jakarta, 2002, hlm. 16). Saidatina Khadijah sentiasa menenangkan ketakutan Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam. Begitu jelas, keluarga beliau adalah keluarga sakinah yang berjuang, atau keluarga pejuang yang sakinah.
.
Riwayat seperti ini juga dapat dilihat pada keluarga Yasir bin Amir bin Malik. Dia bersama isterinya Sumayyah binti Khubath radhiallahu anha dan anaknya Amar bin Yasir, termasuk tujuh orang pertama yang memeluk Islam. Pasangan suami-isteri tersebut berhasil mendidik anaknya menjadi soleh. Sang suami amat sayang kepada isteri dan anaknya. Semasa hayatnya, Sumayyah dikenali sebagai seorang isteri yang baik, berbakti, dan mengabdi kepada suaminya. Beliau sentiasa disisi suaminya dalam suka dan duka. Mereka bukan hanya sebagai keluarga sakinah, malahan juga mempertaruhkan nyawanya demi melawan musuh-musuh Islam. Jelas, mereka adalah keluarga sakinah penegak Islam.
.
Contoh lain adalah keluarga Abu Thalhah. Beliau adalah seorang pejuang dan sahabat karib Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam. Isterinya bernama Ummu Sulaim binti Milhan radiallahu anha. Dia adalah seorang perempuan Anshar dan tergolong sebagai sahabiyah yang utama. Ilmu, pemahaman, keberanian, kemurahan hati, kesucian, dan keikhlasan hanya untuk Allah dan Rasul terkumpul dalam dirinya. Mereka menjadi ayah dan ibu tauladan dengan mendidik anak yang hebat seperti Anas bin Malik yang banyak meriwayatkan hadis. Hubungan mereka sebagai suami-isteri juga mesra. Ummu Sulaim sentiasa menyediakan makanan dan minuman, berdandan cantik, bercakap dan bersenda gurau dengan suaminya. Sememangnya keluarga mereka bukan hanya pembela Rasullullah bahkan juga sebuah keluarga sakinah.

Terdapat banyak lagi contoh-contoh riwayat keluarga sahabat yang dapat dijadikan teladan. Kesimpulannya, mereka menyatukan peranan ayah/ibu dan anak, peranan suami-isteri, dan keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah, dengan perjuangan Islam. . Wallâhu a‘lam bi ash-shawâb.


Salam Ukhuwahfillah,

-IDA-

0 comments:

Related Posts with Thumbnails